Islam - `Keselamatan, Kesejahteraan'
Islam bermakna: "Meletakkan diri dalam keadaan penyembahan atau
perhambaan kepada Allah Tuhan Yang Maha Esa, menyembah kepadaNya sahaja tanpa
syirik, dan taat serta mematuhi Undang-undang dan HukumNya. Dengan cara
perhambaan diri manusia ini, manfaat KeIslaman, keselamatan, kesejahteraan, dan
kejayaan diri yang sebenar akan dapat dicapai.
Islam adalah nama agama, atau lebih tepat lagi, Ad-Din, yang telah
diwahyukan oleh Allah dan dilaksanakan oleh Nabi dan Rasul yang ditugaskan oleh
Allah kepada manusia sejak Nabi Adam a.s. hinggalah Nabi Muhammad SAW untuk
manusia hingga ke hari ini. Nama Islam itu sendiri disebut oleh Allah SWT dalam
Al Quran - Islam bermakna `Keselamatan, Kesejahteraan'.
`Sesungguhnya Ad-Deen di sisi Allah hanyalah
Islaam' (Surah aali-Imraan 19)
`Barangsiapa yang mencari selain Islaam
sebagai ad-deennya, maka tidaklah diterima amal perbuatannya, dan di Akhirat
kelak ia termasuk golongan yang rugi (al Khaasiriin).' (Surah aali-Imraan 85)
`Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu
agamamu (din), dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai
Islam itu jadi agama bagimu'. (surah al-Maaidah 3)
`Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang
yang mengada-adakan dusta terhadap Allah sedang dia diajak kepada Islam?
Dan Allah
tidak memberi petunjuk kepada orang-orang zalim.' (Surah as Saff 7)
Perkataan `Salaam' iaitu sumber nama `Islam'
bermakna: keamanan, kedamaian, kesejahteraan, penyerahan diri.
Jadi, seorang yang beragama Islam dipanggil
Muslim (lelaki) dan Muslimah (wanita) yang menyerahkan dirinya kepada Allah SWT
dengan melaksanakan Islam, menyembah Allah SWT, mentaati ajaran dan hukum-hakam
Islam. KeIslaman seseorang boleh jadi merosot atau lemah kerana melakukan dosa,
mungkar, kederhakaan terhadap Allah SWT, kejahilan, dan perbuatan keji sedang
ia mengetahuinya; dan KeIslamannya terbatal jika ia melakukan Syirik* atau
Riddah* (Murtad), dan menafikan Ketuhanan Allah SWT, atau melakukan perbuatan
lain yang membatalkan Aqidah Islam seseorang itu.
Sebenarnya, kepercayaan kepada Keesaan Tuhan
bermakna lebih daripada sekadar mempercayai hanya ada `satu Tuhan'. Beberapa
agama kafir lain juga mendakwa mempercayai hanya pada `satu Tuhan' dan hanya
satu Tuhan inilah Yang Mencipta dan Memelihara sekalian alam. Akan tetapi,
ajaran Tauhid yang murni adalah meyakini hanya ada satu Tuhan yang layak
disembah dan ditaati iaitu Allah Subhanawataala, mengikut ajaran yang dibawa
oleh Para Nabi dan Rasul yang diutuskan oleh Allah kepada manusia. Cara
kepercayaan dan penyembahan mestilah mengikut apa yang diajar dan dilakukan
oleh Para Nabi dan Rasul. Peraturan dan Undang-undang yang dibawa oleh Para
Nabi dan Rasul mestilah dipatuhi dan dijunjung.
Islam melarang cara menggunakan `perantaraan'
dalam hubungan seorang insan dan Allah SWT - setiap insan yang waras akalnya
wajib menyembahNya secara terus dengan Solat dan Ibadat sebagaimana yang telah
diajar oleh Nabi dan Rasul. Setiap Muslim meyakini bahawa Allah adalah Maha
Pemurah, Maha Mengasihi, Mengasihani, Maha Penyayang.
Dalam Islam,
sudah jelas perbezaan antara Yang Mencipta, dan yang diciptakan (makhluk).
Tidak ada sesuatu yang kabur atau misteri dalam persoalan Ketuhanan: kerana
yang diciptakan sememangnya tidak layak dipuja atau disembah dan ditaati; hanya
Allah, Yang Menciptakan, Dia sahaja yang layak dan wajib disembah.
Agama kafir ada yang mempercayai Tuhan
menjadi sebahagian daripada ciptaanNya, dan kesesatan ini membuatkan mereka
percaya bahawa mereka boleh menyembah sesuatu makhluk untuk menjadi perantaraan
kepada Allah. Mereka mengatakan mereka juga percaya hanya ada satu Tuhan yang
Unggul, tetapi mereka pula sujud dan menyembah sesuatu selain Allah sebagai
perantaraan.
Muslimin meyakini bahawa sememangnya hakikat
Zat Allah tidak boleh digambarkan dengan kata-kata atau akal. Dan sememangnya
kita dilarang daripada cuba memikirkan atau menggambarkan Zat Allah.
Tetapi seorang Muslim pasti dalam meyakini
bahawa Allah tidak mempunyai sekutu, setara, gandingan, anak, atau tuhan lawan
(antagonis). Sesungguhnya Allah SWT tidak beranak ataupun diperanakkan, samada
secara nyata, zahir, ataupun metafizikal.
Allah adalah
Maha Esa dan Maha Kekal. Dia Yang Mencipta setiap sesuatu, dan Dia Berupaya
dan Berkuasa ke atas segala sesuatu. Dia Maha Mengasihi dan Maha Pengampun
kepada sesiapa yang dikehendakiNya.
Allah telah
menciptakan alam dan isi dunia ini untuk dimakmurkan oleh manusia, dan Dia juga
mengaturkan kehidupan manusia. Setiap sesuatu di alam ini adalah tanda-tanda
Kekuasaan dan Rahmat Allah.
Kepercayaan
kepada Keesaan Allah bukanlah sekadar konsep metafizikal sebagaimana yang
dikatakan oleh orientalis, sosiologis dan psikologis Barat kaffir. Ketauhidan
inilah mempengaruhi dan mengatur tatacara hidup manusia, masyarakat, dan setiap
perlakuan dan kegiatan hidup di dunia. Keesaan Allah ini juga memperkukuhkan
kepercayaan kita kepada kesatuan manusia dan Ummah Islam.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar