Dalam bahasa Arab, perkataan
"Islam" bermaksud "tunduk" atau "patuh". Jika
seorang Muslim ditanya, "Apakah itu Islam?", biasanya dia akan
menjawab, "Agama yang tunduk kepada Allah, satu-satu Tuhan yang
benar."
Jawapan ini terlalu ringkas. Tentu
guna memahami Islam yang kafah, satu bacaan gambaran yang jelas diperlukan.
Untuk itu kontek memahami sejarah diperlukan.
Islam Dalam Sejarah
Sebelum Islam bertapak di tanah Arab
di bawah pimpinan Muhammad, terdapat empat jenis kepercayaan yang berpengaruh
di sana.
1. Arab Jahiliah
Mereka ini penyembah-penyembah
berhala yang percaya kepada satu Tuhan yang Maha Tinggi, dewa-dewi dan berbagai
jenis kuasa ghaib. Walaupun begitu, sebilangan besar dari pada mereka
(terutamanya bani Quraisy di Mekah) mengaku diri mereka dari keturunan Ibrahim.
Rumah berhala mereka yang terkenal
ialah Kaabah yang bertempat di Mekah. Di dalamnya terdapat berbagai objek-objek
pujaan dan berhala.
2. Yahudi
Pada zaman Muhammad, terdapat ramai
orang Yahudi di tanah Arab. Sebilangan besar dari mereka bukan Yahudi sejati
melainkan yang telah memeluk agama Yahudi. Menurut Yaqubi, bani Yahudi Quazah
dan Nadhir di Madinah merupakan suku-bangsa Arab Jurham yang telah diyahudikan.
Orang Yahudi pada masa itu lebih
berpengetahuan tentang dongeng rakyat dan tulisan ulama mereka daripada apa
yang sebenarnya di tulis dalam Taurat. Malah, ada yang telah lupa bahasa asal
mereka dan tidak dapat lagi membaca kitab Taurat yang ditulis dalam bahasa
Ibrani. Kerana ulama-ulama Yahudi sahaja yang memahami kitab Taurat, ayat-ayat
dari kitab itu terpaksa diterjemahkan secara spontan ke dalam bahasa Arab dalam
upacara-upacara sembahyang umum.
3. Kristian
Orang yang pertama menjadi Kristian
ialah orang Yahudi. Mereka berbeda dengan orang Yahudi lain kerena menerima Isa
sebagai Al-Masih yang telah dijanjikan Allah. Apabila semakin ramai orang
bukan-Yahudi memeluk agama Kristian, mereka hendak membentuk identiti mereka
sendiri. Pada zaman Muhammad, orang Kristian telah wujud selama enam ratus
tahun. Dalam masa yang singkat itu, agama Kristian berjaya menjadi agama utama
di Timur Tengah.
Akan tetapi orang Kristian pada masa
itu telah pudar semangat dan banyak ajaran-ajaran sesat telah berjaya
memecahbelahkan penduduk Kristian kepada kelompok-kelompok yang bertentangan
fahaman. Ramai orang keliru tentang fahaman Kristian yang benar terutamanya mereka
yang tidak berpeluang membaca Alkitab (gabungan kitab Taurat, Mazmur dan Injil)
untuk mengkaji isu-isu yang diperdebatkan.
Suasana ini merebak ke tanah Arab
yang pada masa itu tidak memiliki Alkitab dalam bahasa Arab. Orang Kristian di tanah Arab pada masa itu terdiri dari golongan Nestoria,
Baizantin dan Monofisit. Golongan Baizantin dan Monofisit merupakan dua
golongan paling berpengaruh dan merekalah yang menimbulkan perbalahan apabila
memanggil Maryam, Ibu Tuhan. Maka tidak hairanlah jika suasana seperti itu
telah menghalang Muhammad daripada mendapatkan ajaran Kristian yang benar.
Akhirnya, penyebaran
ajaran-ajaran sesat ini dapat disekat dan dibetulkan. Prosesnya mengambil masa
yang lama kerana campur tangan berbagai pihak yang berkuasa. Apabila umat
Kristian berjaya bangkit dari kemelut akidah yang telah memecahbelahkan mereka,
Islam telah pun bertapak di Timur Tengah dan Afrika Utara.
- Hanif
Perkataan Hanif bermaksud "Dia
yang berpaling" yaitu dari pada penyembahan berhala. Orang Hanif ialah
orang Arab Jahiliah yang telah dipengaruhi oleh fahaman Yahudi dan Kristian
lalu mereka menolak amalan penyembahan berhala. Mereka tidak berjemaah tetapi
percaya agama yang benar ialah agama yang dipegang bapak bangsa mereka,
Ibrahim.
Agama Yahudi, Kristian dan Islam
masing-masing menuntut mewakili agama Ibrahim yang sebenar. Adalah menarik
bahawa dari empat Hanif yang diceritakan oleh Ibn Ishaq, tiga daripada mereka
menemui kebenaran yang dicari-cari mereka dalam agama Kristian.
Hanif yang pertama ialah Waraqah bin
Naufal, sepupu Khatijah, isteri pertama Muhammad. Dia memeluk agama Kristian
dan menjadi seorang Kristian yang terpelajar. Walaupun dia adalah saudara dan
penasihat rohani Muhammad, dia tidak pernah memeluk agama Islam. Selepas
kematiannya, Muhammad telah bermimpi melihat Waraqah berpakaian putih dan
mengambilnya sebagai tanda Waraqah selamat di syurga.
Hanif kedua ialah Abdullah bin
Jashy. Pada mulanya dia memeluk agama Islam tetapi kemudiannya memeluk agama
Kristian setelah berhijrah ke Habsyah akibat penganiayaan di Mekah. Abdullah selalu bersaksi kepada pelarian Islam yang lain tentang pengalaman
rohaninya yang baru itu. Dia pernah berkata, "Kami (Kristian) melihat
dengan jelas tetapi kamu (Islam) mengerdip mata sahaja." Maksudnya jelas –
Abdullah percaya bahawa orang kristian mempunyai pandangan yang jelas dalam
hal-hal rohani manakala Islam masih belum berjaya melihat terang kebenaran
Allah.
Hanif yang ketiga ialah Usman bin
Huarith. Dia merupakan saudara isteri pertama Muhammad dan memeluk agama Kristian
semasa di Baizantin.
Hanif yang keempat, Zaid bin
Amru, tetap Hanif sampai akhir hayatnya. Dikatakan dia selalu berdoa, "Ya
Allah. Jika aku tahu jalan mana yang paling Engkau berkenan, aku akan
menyembah-Mu dengannya. Tetapi aku tidak tahu."
Sebelum kerasulannya, Muhammad
merupakan seorang Hanif. Pada setiap tahun, di bulan Ramadan, dia akan pergi
bertapa di Gua Hira yang berdekatan dengan Mekah. Amalan ini sebenarnya berasal
daripada orang Kristian di Syria yang kemudiannya menjadi popular di kalangan
orang Arab.
Mengikut ajaran Islam, kenabian
Muhammad bermula pada satu malam pada bulan Ramadan apabila dia terdengar satu
suara menyuruh dia "mengucap" (yakni ayat-ayat Al-Quran yang bakal
diturunkan kepadanya). Suara ini didengarnya ketika dia
sedang bertapa di Gua Hira. Apabila dia mempertimbangkan kata-kata tersebut,
malaikat Jibrail telah menjelma dan memberitahunya, "Muhammad! Engkaulah
rasul Allah."
Pada mulanya Muhammad menyebarkan
mesej Islam di kalangan orang Arab sahaja. Selepas dia berhijrah ke Madinah
(yang banyak berpenduduk Yahudi), dia cuba memujuk orang Yahudi menerimanya
sebagai seorang nabi setaraf nabi-nabi dalam kitab Taurat. Muhammad mengelar
orang Yahudi dan Kristian "ahli-ahli kitab". Walaupun begitu, orang
Yahudi menentang Muhammad dan menolak mesejnya. Mereka yakin kitab suci mereka
tidak menyatakan apa-apa tentangnya. Sejak dari itu, Muhammad mula bermusuhan
dengan mereka.
Apabila ditanya sama ada orang
Islam orang Yahudi atau Kristian, Al-Quran mengarahkan orang Islam untuk memberi
jawapan ini:
Berkata mereka itu: Beragama
Yahudilah kamu, atau beragama Nasrani, supaya kamu mendapat petunjuk.
Katakanlah: Bahkan agama Ibrahim yang lurus (kami ikut), dan bukanlah dia
termasuk orang-orang musyrik. Katakanlah: Kami telah beriman kepada Allah dan
(Kitab) yang diturunkan kepada kami dan apa-apa yang diturunkan kepada Ibrahim,
Ismail, Ishaq, Yaqub dan anak-anaknya (begitu juga kepada kitab) yang
diturunkan kepada Musa dan Isa, dan apa-apa yang telah diturunkan kepada
nabi-nabi dari Tuhan mereka, tiadalah kami perbezakan seorang juga di antara
mereka itu dan kami patuh kepada Allah. Maka jika mereka beriman seperti
keimanan kamu, sesungguhnya mereka mendapat petunjuk; tetapi jika mereka
berpaling (tiada beriman seperti keimananmu), maka hanya mereka dalam
perpecahan (dengan kamu); maka engkau akan dipeliharakan Allah dari kejahatan
mereka, dan Dia Mahamendengar, lagi Mahamengetahui. (2 Surah Al-Baqarah ayat 135-137)
Apabila ayat-ayat ini yang dipandang
dari sudut sejarah, maka jelaslah agama Islam merupakan satu panggilan untuk kembali
kepada agama Ibrahim dan mesej nabi-nabi Allah. Apakah ini telah dilakukan
penganut agama Islam? Apakah Islam hari ini mewakili agama Ibrahim, Ismail,
Ishaq dan Yaqub yang sebenar? Apakah kitab Musa dan Isa ditaati hari ini oleh
pengikut Islam?
Agama Ibrahim
(Ingatlah) ketika Tuhan berfirman
kepada Ibrahim: Islamlah engkau! Jawabnya: Saya telah Islam(patuh mengikut)
Tuhan semesta alam. (2 Surah
Al-Baqarah ayat 131)
Siapakah yang terlebih baik agamanya
dari orang yang menundukkan mukanya kepada Allah sedang ia berbuat kebaikan dan
mengikut agama Ibrahim yang lurus? Allah telah mengangkat Ibrahim itu sebagai
tolan (sahabat). (Surah
An-Nissak ayat 125)
Agama Ibrahim ialah agama penundukan
dan ketaatan kepada perintah-perintah Allah. Ibrahim menikmati banyak berkat
kerana kejayaannya tunduk dan taat kepada Allah. Dia telah diberi anak yang
soleh walaupun sudah berusia, anaknya ditebus Allah ketika Ibrahim patuh kepada
arahan Allah (melalui mimpi) untuk menyembelih anaknya dan dia dijadikan imam
bagi manusia. Akan tetapi berkat paling besar dialami Ibrahim ialah
penghormatan menjadi sahabat Allah.
Bagaimana dengan anda hari ini?
Apakah anda berjaya tunduk dan taat kepada perintah-perintah Allah Ibrahim,
Ishaq dan Yaqub? Apakah berkat-berkat yang telah anda alami sebagai hasil
kepatuhan ini? Apakah anda seorang sahabat Allah?
Mengapakah Allah berkenan kepada
nenek moyang kita Ibrahim? Allah berkenan kepada Ibrahim kerana perbuatan
Ibrahim, iaitu mempersembahkan Ishaq, anaknya di atas mezbah, sebagai
persembahan kepada Allah. Kamu tidak nampakkah bahawa Ibrahim menunjukkan
imannya dengan perbuatannya? Oleh itu, iman Ibrahim menjadi sempurna. Perkara
itu sesuai dengan ayat Alkitab, "Ibrahim percaya kepada Allah, dan kerana
imannya Allah menerima dia sebagai orang yang melakukan kehendak Allah."
Itulah sebabnya Ibrahim disebut sahabat Allah. (Yakub bab 2 ayat 21-23)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar